Rabu, 21 Ogos 2013

Kurang tidur melemahkan sistem imun tubuh



Tidur bukanlah satu kelebihan tetapi satu keperluan dalam kehidupan seharian kita. Tidur membantu badan kita berehat dan membaikpulih sel-sel badan termasuklah sel otak. Tidur sama penting seperti pemakanan seimbang dan bersenam.

Kurang tidur menyebabkan sistem imun tubuh menjadi lemah dan mengundang pelbagai penyakit

Secara purata kita menghabiskan 1/3 daripada 24 jam sehari untuk tidur. Kurang tidur menyebabkan sistem pertahanan badan atau tahap imun menjadi lemah. Ini mengundang jangkitan demam selsema dan sebagainya.

Kajian menunjukkan bila tidak cukup tidur, sel darah putih dan sel imun badan menjadi kurang efektif. Satu kajian lagi menunjukkan jika seekor tikus hanya diberi tidur selama 8 jam kemudian didedahkan dengan bahan asing, tindakbalas antibodi tikus tersebut adalah lemah.

Tikus eksperimen itu menjadi lemah dan tidak mampu melawan jangkitan virus influenza dalam paru-paru. Tikus ini juga kurang menghasilkan interferon dan enzim lain yang penting untuk melawan jangkitan penyakit.

Kajian terbaru juga mengesahkan bahawa walaupun kurang tidur hanya beberapa jam sehari ia akan mengganggu tindakbalas sistem imun badan.

Sel pembunuh yang dinamakan Natural Killer Cells dalam badan kita adalah sel imun yang paling terjejas apabila kurang tidur. Kajian menunjukkan jika seseorang yang berjaga malam sehingga pukul 3 pagi akan menghasilkan kurang 30% jumlah Natural Killer Cells pada keesokan harinya selain sel-sel tersebut menjadi kurang aktif.

Punca penyakit kanser.
Keadaan sistem imun yang lemah ini menyebabkan badan mudah dijangkiti virus yang mengakibatkan selsema. Selain melawan virus, sel-sel imun ini juga melindungi badan daripada sel kanser. Oleh itu, penyelidik berpendapat kurang tidur secara kronik boleh menyebabkan risiko menghidap kanser meningkat.

Mudah dijangkiti kuman.
Mereka yang menghidap insomnia kronik (mempunyai masalah tidur melebihi 4 minggu) ataupun yang sengaja kurangkan tidur setiap hari secara tetap dipercayai "lebih mudah dihinggapi virus, bakteria dan kulat", kata James Krueger, Ph.D, seorang ahli neurobiologi di Washington State University.

Punca penyakit kronik.
Kajian lain daripada Penn State University dan National Institute of Child Health and Human Development di US National Institutes of Health, keurang tidur didapati melemahkan hormon imun dalam lelaki dan wanita sihat yang tidur selama 6 jam semalam selama seminggu.

Subjek kajian itu didapati mengalami kenaikan hormon kortisol manakala penurunan hormon tumbesaran (Growth Hormone) yang rendah. Ketidakseimbangan hormon-hormon ada kaitan dengan peningkatan risiko penyakit kencing manis (diabetis), arteriosklerosis, tekanan darah tinggi dan osteoporosis.

Luka dan kecederaan lambat sembuh.
Sistem imun yang lemah juga bermakna sebarang luka dan kecederaan akan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh. Manakala dengan tidur lebih lama ketika terkena jangkitan penyakit membantu mempercepatkan proses penyembuhan.

Itulah sebabnya kita terasa mengantuk ketika tidak sihat atau dijangkiti penyakit dan tidak pelik jika seseorang itu tidur lebih lama ketika sakit.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...