Isnin, 25 November 2013

Kebaikan dan keburukan meminum kopi

Minum coffee dikaitkan dengan kesihatan
Pelbagai pendapat bila ditanya samada minuman kopi baik untuk kesihatan atau sebaliknya. Jawapannya bergantung pada jenis kopi dan jumlah pengambilan. Katakan anda tidak menghidap kencing manis, anda tidak perlu risau meminum kopi sebab kajian mendapati kopi boleh menurunkan risiko menghidap kencing manis (Diabetes Mellitus Type 2). Bukan kerana kafein, tapi bahan lain dalam kopi yang memberi kesan tersebut tidak kira samada ia minuman kopi berkafein ataupun tidak (decaffeinated coffee).

Malangnya bagi pesakit diabetis atau kencing manis, mengambil minuman berkafein seperti kopi boleh memburukkan lagi penyakit diabetis yang dihidapi. Ini kerana kafein yang terkandung dalam minuman tersebut mengganggu sistem dalaman menyebabkan badan semakin sukar untuk mengawal kandungan gula dalam darah. Namun pesakit diabetis boleh mengambil minuman kopi yang telah dinyah-kafein (decaffeinated coffee) sebagai alternatif.

Kajian lain menunjukkan amalan meminum kopi dapat mengurangkan risiko penyakit strok (angin ahmar), membantu mencegah kanser kulit serta memberi kesan perlindungan terhadap penyakit Alzheimer. Namun fakta tersebut masih memerlukan kajian lanjut untuk mengesahkannya. Dalam satu review yang dikeluarkan pada tahun 2007 dalam Neurological Research tabiat meminum kopi secara berterusan membantu mencegah penyakit Parkinson. Tetapi kesan ini tidak terjadi kepada wanita yang telah menopos yang mengambil terapi hormon estrogen, sepertimana dilaporkan dalam American Journal of Epidemiology dalam tahun 2004.

Minuman kopi didapati tidak meningkatkan risiko menghidap kanser pundi kencing, perut, buah pinggang, atau payudara malah ia membantu sedikit sebanyak mencegah kanser hati. Kajian menunjukkan tabiat meminum kopi dikaitkan dengan kandungan enzim dalam darah yang menunjukkan kerosakan hati adalah rendah. Keputusan ini adalah konsisten tidak kira orang itu pernah atau tidak menghidap penyakit hati. Masih tidak pasti samada kesan ini disebabkan kafein atau bahan lain dalam kopi.

Ringkasnya, bagi kebanyakan orang yang menikmati minuman kopi sekadar secawan dua sehari memang tidak perlu risau. Hakikatnya, meminum dua ke empat cawan kopi sehari (200 ke 300mg kafein) berkemungkinan besar selamat. Tapi pengambilan kopi yang berlebihan, seperti empat ke tujuh cawan sehari (500 ke 600mg kafein) akan mengundang pelbagai masalah seperti sukar tidur, cepat gemuruh, cepat marah, loya, degupan jantung yang laju, sakit kepala, kemurungan, tangan menggeletar dan sebagainya.

Baca Boleh ke makan serbuk kopi?

Rujukan:
http://www.webmd.com/diabetes/news/20080128/caffeine-risks-may-rattle-diabetics

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...