Isnin, 10 Februari 2014

Najis berdarah tanda kanser usus


Najis bercampur darah atau sembelit kronik adalah tanda awal kanser usus

Menurut statistik Kementerian Kesihatan, kanser usus adalah kanser ketiga tertinggi di Malaysia dan 90% daripada pesakit adalah berusia 40 tahun ke atas.

Kesedaran mengenai kanser usus masih kurang dimana kebanyakan pesakit hanya datang berjumpa doktor bila kanser sudah mencapai tahap 3 atau 4 yang mana sel kanser sudah merebak ke bahagian usus dan organ lain.

Oleh itu sangat penting untuk seseorang itu mengambil tahu tanda-tanda awal kewujudan kanser ini supaya ia dapat dirawat dengan berkesan.

Seseorang itu seharusnya berjumpa doktor dan sebaiknya dirujuk kepada pakar bedah sekiranya:

  • Najis bercampur dengan darah dan tabiat membuang air besar bertukar secara berterusan selama lebih 6 minggu.
  • Pendarahan berterusan melalui dubur tanpa simptom atau penyakit lain yang tidak berbahaya di bahagian luar dubur bagi yang berumur melebihi 65 tahun.
  • Mengalami berak cair dan/atau kerap membuang air besar secara berterusan selama lebih 6 minggu.
  • Sembelit kronik yang diselang-seli dengan najis berair. Pertumbuhan sel kanser menyebabkan laluan najis dalam usus atau rektum tersekat.
  • Kekurangan darah merah atau anemia berpunca kekurangan zat besi (iron deficiency anaemia) tanpa sebab nyata dan kandungan Hb <10g/dL. Pesakit biasanya mengalami kelesuan dan keletihan yang berpanjangan.
  • Mempunyai ketulan atau bengkak dalam perut atau rektum yang boleh dirasa dengan tangan. Pesakit mungkin rasa tidak selesa di bahagian perut dan dubur. Najis kelihatan kurus dan nipis daripada biasa.
  • Kehilangan berat badan tanpa sebab. Contohnya berat susut 10kg dalam masa 2 bulan tanpa bersenam, diet dan sebagainya.
Bercakap pasal kanser usus, saya terkenang arwah kakak dan suami yang meninggal akibat kanser walhal dalam keluarga saya mahupun sebelah suaminya tiada keturunan kanser. Allah lebih menyayangi mereka dan semoga roh mereka ditempatkan dikalangan orang beriman.
  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...