Isnin, 3 Mac 2014

Kebaikan Diet Rendah Karbohidrat-Tinggi Lemak


Diet Rendah Karbohidrat-Tinggi Lemak atau LCHF (Low Carbohydrate-High Fat) bermakna diet anda mengandungi nisbah karbohidrat yang kecil berbanding nisbah lemak yang lebih besar. Paling penting anda mesti meminimumkan pengambilan gula dan makanan berkanji. Anda boleh makan makanan lain sepuas-puasnya tapi masih boleh kurangkan berat badan.  

Kajian-kajian yang telah dilakukan menunjukkan diet rendah karbohidrat dapat mengurangkan berat badan, terutamanya dikalangan pesakit diabetis jenis 2 yang mengalami kekebalan insulin dan kandungan gula darah yang tidak terkawal.

Contoh, satu kajian di Duke University Medical Center membandingkan dua jenis diet iaitu diet rendah karbohidrat (kurang 20g karbohidrat sehari) dan diet rendah kalori (500 kalori sehari) dikalangan subjek yang obes yang menghidap diabetis jenis 2. Selepas 24 minggu, kumpulan yang mengambil diet rendah karbohidrat secara purata susut berat badan sebanyak 24.5 paun berbanding 15.2 paun bagi kumpulan diet rendah kalori.

Apa yang menariknya, kumpulan diet rendah kalori diarah mengehadkan jumlah kalori yang diambil manakala kumpulan diet rendah karbohidrat hanya disuruh mengehadkan jumlah karbohidrat tetapi dibenarkan mengambil makanan berlemak, daging serta ikan tanpa sekatan.

Satu lagi kajian disiarkan dalam American Journal of Clinical Nutrition pada Januari 2008 menyokong hipotesis ini. Para pengkaji berpendapat subjek yang obes akan terasa cepat kenyang dan secara tidak sengaja mengurangkan pengambilan kalori apabila dihidangkan makanan rendah karbohidrat dan tinggi lemak serta protin (4% karbohidrat dan 66% lemak dalam diet rendah karbohidrat vs. 35% karbohidrat dan 35% lemak dalam diet karbohidrat sederhana).

Penemuan ini boleh diguna sebagai rujukan untuk membantu pesakit diabetis jenis 2 sebagai jalan untuk mengurangkan pengambilan kalori seterusnya dapat mengurangkan berat badan tanpa berlapar.

Kesan Diet LCHF kepada kandungan gula, insulin dan kolesterol dalam darah


Diet tinggi lemak tidak memberi kesan buruk kepada kandungan kolesterol darah. Malahan dilihat kandungan 'kolesterol jahat' triglycerides dan LDL berkurang manakala kadar ‘kolesterol baik’ HDL tidak berubah. Tetapi saiz molekul HDL dan LDL bertambah.

Molekul LDL yang lebih besar lebih sukar membentuk plak yang menyumbat saluran arteri. Molekul HDL lebih besar kekal dalam badan lebih lama untuk membersihkan lebih banyak plak kolesterol.

Kandungan insulin dan glukos dalam darah juga menurun. Ini bagus kerana kandungan darah tinggi insulin dan glukos adalah petanda awal penyakit diabetis. 

Cadangan diet Rendah Karbohidrat-Tinggi Lemak


Daging: Segala jenis, termasuk lembu, ayam, kambing dll. Sila makan juga lemak pada daging serta kulit ayam. Sebaiknya pilih daging ternakan organik.

Ikan dan Kerang: Segala jenis, Ikan berlemak seperti misalnya salmon, makarel atau hering adalah yang terbaik.

Telur: Segala jenis, direbus, digoreng, dadar, dll. Pilihlah telur organik.

Sos tinggi lemak semulajadi: Menggunakan mentega dan krim  dapat membuat masakan anda lebih lazat dan membuat anda lebih kenyang. Minyak kelapa dan minyak zaitun juga adalah pilihan yang baik.

Sayur-sayuran yang tumbuh di atas permukaan tanah: Segala jenis kubis, seperti brokoli, kubis dan taugeh. Asparagus, terung, zaitun, bayam, timun, bawang, lada, tomato dll.

Produk tenusu: Pilih yang berlemak tinggi misalnya mentega, krim (40% lemak), yogurt tinggi lemak dan keju tinggi lemak.

Berhati-hatilah terhadap susu dan susu skim kerana biasanya banyak mengandungi gula. Hindari produk yang berperasa, manis dan rendah lemak.

Kekacang: Baik untuk dinikmati sambil menonton tv (hidangan sederhana)

Buah beri: Baik dalam jumlah sederhana, sesuai dimakan dengan krim.

maksimum 5g karbohidrat dalam setiap 100g makanan

Elakkan makanan berikut:


Gula: Yang terburuk. Minuman ringan, gula-gula, jus, minuman tenaga, coklat, kuih, roti, kek cawan, aiskrim, bijirin sarapan. Sebaiknya elakkan juga pemanis.

Makanan berkanji: Roti, pasta, nasi, kentang, kentang goreng, kerepek kentang, bubur, muesli dan seterusnya. Produk ‘wholegrain’ pun kurang baik.

Marjerin: Mentega buatan dengan kandungan tinggi lemak omega-6 tidak semulajadi. Tidak bermanfaat bagi kesihatan dan rasa tidak sedap. Secara statistik berkaitan dengan asma, alergi dan sakit keradangan lain.

Buah: Yang sangat manis, banyak mengandung gula. Makanlah sesekali. Anggap ia sebagai gula-gula semulajadi.


Sumber:
http://www.dietdoctor.com/lchf
http://www.todaysdietitian.com/newarchives/080113p12.shtml
http://www.webmd.com/diet/news/20031111/low-carb-high-fat-diet-drops-weight
Santos FL, et al. Systematic review and meta-analysis of clinical trials of the effects of low carbohydrate diets on cardiovascular risk factors. Obes Rev. 2012 Aug 21. doi: 10.1111/j.1467-789X.2012.01021.x.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...